KUALA LUMPUR - Pengamal media perlu terus memainkan peranan dalam menyatukan rakyat berbilang kaum dengan menyampaikan mesej perpaduan dan mengelakkan isu yang boleh menggugat keharmonian.Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, kerjasama media penting bagi menyampaikan mesej perpaduan bukan sahaja daripada kementeriannya, malah jabatan berkaitan kepada masyarakat.Beliau berkata, sepanjang hampir 11 bulan memegang jawatan itu, pihak media banyak membantu menyampaikan maklumat dan mesej perpaduan kepada rakyat.Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara turut mewujudkan kempen 'Yuk Bersama Membina Negara Bangsa' bagi menggalakkan usaha membina perpaduan."Kita sepatutnya bergerak ke hadapan dan beralih daripada isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja) atau perkara lain yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat," katanya.Beliau ditemui ketika Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Dorsett Hotel Kuala Lumpur di sini pada Selasa.Yuneswaran berkata, komen segelintir pengguna media sosial berpotensi menggugat keharmonian masyarakat, justeru pemantauan terhadap unsur fitnah dan mesej yang memecahbelahkan rakyat sentiasa diberi perhatian."Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga memainkan peranan memantau unsur ini," katanya.Dalam pada itu, beliau menjelaskan, isu perpaduan tidak seharusnya disamakan dengan isu 3R kerana sebahagian isu yang timbul sebenarnya berkaitan dasar kerajaan, jurang ekonomi, sosial dan jenayah.Menurutnya, jurang ekonomi bukan sahaja berlaku antara kaum, malah dalam kalangan kaum sama, manakala isu sosial dan jenayah pula kadangkala dikaitkan dengan kaum atau agama tertentu sehingga mencetuskan tanggapan perkauman."Padahal, itu adalah isu dasar, jenayah dan sivil. Kita perlu melihat perkara ini dari sudut undang-undang," katanya.Yuneswaran berkata, kementerian sepanjang tahun ini melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan Rukun Negara serta pembinaan negara bangsa, termasuk Minggu Perpaduan yang disifatkannya sangat berjaya.