Keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi adalah langkah keselamatan siber yang perlu dan seimbang. Ia tidak sepatutnya digambarkan sebagai serangan terhadap kebebasan rakyat biasa untuk memilih aplikasi navigasi. Sebaliknya, ia satu langkah perlindungan disasarkan untuk mengurangkan pendedahan maklumat kerajaan, pergerakan kakitangan dan data peribadi rakyat.
Penjelasan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) adalah penting kerana kebimbangan kerajaan bukan sekadar aplikasi mengumpul data lokasi, sebaliknya di mana data itu disimpan, siapa boleh mengakses data terbabit dan bidang kuasa undang-undang mana yang mengawalnya sekiranya berlaku penyalahgunaan.








