KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat pertahanan Norway susulan kegagalan menghantar sistem peluru berpandu antikapal (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, ketika memaklumkan perkembangan itu kepada BH, berkata ia termasuk soal tuntutan lebih RM1 bilion kepada syarikat berkenaan membabitkan kos langsung dan tidak langsung susulan keputusan unilateral Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memuktamadkan keputusan berhubung penggantian keperluan sistem peluru itu pada tahun ini.






