KULIM: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk membangunkan 5,000 bakat industri semikonduktor bagi tempoh 2027 hingga 2030 menerusi MARA Semiconductor & High-Tech Industry Future Talent (SHIFT).
Inisiatif itu bagi menghubungkan penajaan pelajaran dan perantisan dengan keperluan industri bagi membuka laluan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi, gaji bermaruah dan kemajuan kerjaya bakat Bumiputera.
Ketua Pengarah MARA, Dr Mahzan Teh, berkata pelaburan itu menyokong Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dalam memperluas keupayaan Malaysia bagi aktiviti bernilai tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju serta penyelidikan dan pembangunan.
Berdasarkan maklum balas daripada pemain utama industri dan agensi berkaitan, beliau berkata, ketersediaan bakat serta tenaga kerja berkemahiran tinggi amat penting bagi menganjakkan industri semikonduktor Malaysia ke arah penciptaan dan pemilikan teknologi.









