PERTARUNGAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar perebutan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menjadi ujian terhadap kemampuan parti politik menyelaras kepentingan masing-masing ketika berdepan persaingan sengit, khususnya dalam usaha menguasai undi Melayu dan mempertahan kerusi disandang.
Barisan Nasional (BN) sudah mengumumkan barisan calonnya dengan mengetengahkan lapan muka baharu serta menggugurkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), namun pembaharuan itu dibayangi persoalan lebih besar apabila pengagihan kerusi dan proses pemilihan calon mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan parti komponen serta rakan strategiknya.
Perkembangan itu memperlihatkan bahawa cabaran BN bukan sekadar mencari calon berpotensi menang, tetapi memastikan keputusan pimpinan negeri mendapat sokongan semua pihak.









