ARSENAL bertekad melupakan kekecewaan tersingkir daripada Piala Liga Inggeris apabila mengalihkan tumpuan kepada pertembungan penting menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Isnin ini.Pengendali The Gunners, Mikel Arteta menggesa anak buahnya segera bangkit daripada kekalahan mengejut itu dan menjadikan kunjungan ke Anfield sebagai peluang terbaik untuk menebus kekecewaan penyokong.Arsenal terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Fleetwood selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi sebenar.Arteta mengakui keputusan itu amat mengecewakan, namun menegaskan pasukannya tidak mempunyai banyak masa untuk terus meratapi kekalahan berkenaan sebaliknya perlu segera mempersiapkan diri bagi menghadapi Liverpool."Kami perlu menerima hakikat ini. Kami sudah tersingkir daripada pertandingan dan pastinya amat sedih, terutama buat semua penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan kerana saya mahu menghadiahkan kemenangan kepada mereka."Sekarang kami perlu pulih dan bersedia untuk ke Anfield," katanya menerusi laman sesawang rasmi kelab.Arteta turut menghargai sokongan hampir 1,000 penyokong Arsenal yang sanggup melakukan perjalanan jauh untuk memberikan sokongan kepada pasukan itu meskipun keputusan perlawanan tidak memihak kepada mereka.Beliau bertekad membalas kepercayaan penyokong dengan menghadiahkan persembahan lebih meyakinkan ketika berdepan Liverpool dalam usaha memastikan kekecewaan di Piala Liga tidak menjejaskan momentum mereka dalam perebutan kejuaraan liga."Mereka sentiasa bersama kami dan itu tidak perlu dipersoalkan. Selepas perlawanan, mereka tetap menunjukkan penghargaan kepada pasukan dan kami akan cuba menggembirakan mereka ketika menentang Liverpool," katanya.Pertembungan menentang Liverpool hadir ketika Arsenal dan Manchester City bersaing rapat di puncak liga sekali gus menjadikan aksi di Anfield penting buat skuad kendalian Arteta untuk mengekalkan kedudukan dalam persaingan kejuaraan.