SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ulama dan pemimpin seharusnya saling menguatkan antara satu sama lain walaupun mempunyai peranan yang berbeza.
Menurut baginda, peranan raja memberi naungan dan dukungan kepada institusi, manakala ulama pula berani menyampaikan nasihat dengan benar dan bebas daripada kepentingan yang mencemarkan martabat ilmu.
”Dalam konteks ini, beta berpandangan bahawa ulama dan umara mempunyai peranan yang berbeza, namun saling menguatkan.
“Hubungan yang baik bukanlah hubungan yang menutup ruang teguran, tetapi memelihara adab, menghormati bidang kuasa dan mendahulukan kepentingan ummah,” titah baginda pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor Dalam Memperkasa Islam di Alam Melayu.








