SHAH ALAM - Sebanyak 30 pemborong gas petroleum cecair (LPG) berlesen di Selangor selesai diaudit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun ini sebagai langkah menangani kegiatan penyelewengan bahan api itu.Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pihaknya kini sedang mempergiat tindakan naziran dan audit di semua pemborong gas LPG berlesen."Di Selangor terdapat sebanyak 42 pemborong LPG berlesen dan setakat ini 30 pemborong sudah diaudit."Tindakan ini akan diteruskan sehingga selesai bagi memastikan semua pemegang lesen dilakukan naziran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.Selasa lalu, menerusi Op Tiris 4.0, KPDN Selangor membongkar stor di kawasan ladang kelapa sawit yang melakukan kegiatan pemindahan pemindahan (decanting) secara haram iaitu memindahkan gas daripada tong LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi ke dalam tong LPG 50kg bagi kegunaan komersial.Operasi bermula jam 9 itu berjaya bertindak menyita 207 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 dan 50kg disita selain sebuah lori bonded dengan nilai keseluruhan RM120,000.Tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 termasuk dua warga asing disyaki pekerja berjaya diberkas.KPDN Selangor juga mengesyaki bekalan LPG bersubsidi tersebut dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen di sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.