KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan tindakan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini menggunakan dron bagi mengesan pergerakan pasukan keselamatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata selain penggunaan teknologi berkenaan, sindiket terbabit turut menggunakan media sosial untuk urusan komunikasi bagi mengelak dikesan.
"Modus operandi sindiket ini memang berubah mengikut keadaan dan tahap kawalan di sempadan. Selain menggunakan Sungai Golok dan pangkalan haram, kita kini mengesan pergerakan yang beralih kepada laluan laut, sungai-sungai kecil dan Sungai Kelantan bagi mengelak dikesan.
"Selepas masuk ke Malaysia, PATI akan dibawa ke lokasi transit sebelum dihantar menggunakan kenderaan persendirian, e-hailing (e-panggilan) atau pengangkutan awam ke destinasi masing-masing.








