KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini dalam perbicaraan saman fitnah terhadap pelakon Rita Rudaini diberitahu Badan Permuafakatan Pendidikan MARA MRSM Sungai Besar (Muafakat MRSM SUBES) mempunyai tiga akaun bank bagi menguruskan dana dan sumbangan untuk pelbagai aktiviti organisasi itu.

Saksi kedua plaintif, Nur Aqilah Ruslan, 37, menjelaskan sumbangan ibu bapa yang dikumpulkan menerusi Tabung Infaq Aircond bagi pemasangan pendingin hawa di Pusat Islam MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) Sungai Besar perlu mendapat persetujuan majoriti penyumbang jika mahu digunakan untuk tujuan lain.

Perkara itu dipersetujui Nurul Aqilah yang juga bendahari Muafakat MRSM SUBES ketika disoal peguam, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan yang mewakili Rita Rudaini pada hari ketiga perbicaraan saman fitnah terhadap pelakon itu.