KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila prospek data ekonomi AS yang positif memberikan sokongan kepada mata wang negara itu.

Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0695/0735 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0555/0600 pada Jumaat minggu lalu .

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data jumlah pekerja bergaji bukan pertanian (NFP) AS bagi Oktober, yang dijadual dikeluarkan pada 6 November, dijangka mencecah 65,000 berbanding 29,000 pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran pula dijangka kekal pada paras 4.2 peratus.

"Data (ekonomi) yang positif mungkin bermakna Rizab Persekutuan (Fed) boleh meneruskan usaha mengetatkan dasar monetari semasa mesyuarat pada Disember dengan kebarangkalian kenaikan Kadar Dana Persekutuan berada pada paras 71.1 peratus, berbanding 78.9 peratus sebulan yang lalu.