SHAH ALAM: Tindakan agresif Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelbagai operasi membanteras kegiatan sindiket dadah dengan rampasan mencecah RM2.96 bilion sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 39,186 kilogram (kg) dadah dan 31,176 liter dadah dalam bentuk cecair dirampas dalam tempoh itu.
"JSJN turut merekodkan rampasan bahan mengikut Akta Racun 1952 sebanyak 47,062 kg dan 112,600.94 liter sepanjang tempoh berkenaan.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun berjumlah RM2.96 bilion membabitkan 184,732 kes merangkumi 205,536 tangkapan di seluruh negara hasil tindakan penguatkuasaan berterusan," katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.










