Kuala Lumpur: Pengurusan kewangan berhemah, strategi pelaburan dan pembangunan bakat menjadi antara aspek penting dalam memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera, khususnya ketika berdepan perubahan landskap ekonomi semasa.

Kepentingan itu diketengahkan menerusi program Pocket Talk bertemakan Pelaburan, Kewangan dan Pembangunan Bakat: Membina Nilai, Mengurus Risiko dan Mencipta Masa Depan anjuran Institut Kajian Ekonomi Bumiputera (IKEB), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Program yang berlangsung di Dewan Nilam, UPTM itu memberi tumpuan kepada hubungan antara pengurusan kewangan, keputusan pelaburan dan pembangunan modal insan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Bumiputera.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah kepentingan perancangan kewangan dan pengurusan risiko bagi membantu individu serta usahawan membuat keputusan kewangan lebih berkesan, selain membina kestabilan perniagaan untuk jangka panjang.