Johor Bahru : Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, bakal menjadi tumpuan warga selatan tanah air apabila Karnival Jom Heboh (KJH) secara rasmi membuka tirainya hari ini.

KJH yang memasuki tahun penganjuran ke-23, menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, tawaran istimewa dan hiburan buat seisi keluarga yang akan meluangkan masa hujung minggu mereka.

Antara tarikan utama yang dinanti-nantikan pastinya peluang beramah mesra bersama barisan selebriti terkemuka tanah air dan personaliti Media Prima menerusi reruai pelbagai stesen televisyen dan portal digital di bawah Media Prima seperti TV3, TV9, Tonton dan Hot FM.

Pengunjung boleh menyertai Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet & Greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, serta Kids Colouring Contest.