KEHAMILAN adalah tempoh penting yang memerlukan perhatian terhadap pemakanan kerana tubuh ibu mengalami pelbagai perubahan bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan bayi.

Pemakanan yang baik bukan sahaja membantu memenuhi keperluan tenaga dan nutrien ibu, malah penting untuk menyokong perkembangan bayi sepanjang kehamilan.

Antara makanan yang baik untuk diamalkan ialah buah-buahan dan sayur-sayuran. Kedua-duanya membekalkan pelbagai vitamin, mineral dan serat yang diperlukan oleh tubuh.

Buah-buahan seperti oren, jambu batu dan betik yang masak boleh menjadi pilihan manakala sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan kailan turut membekalkan nutrien penting.