HULU KLANG – Ibu mana yang mampu menahan tangis saat berdepan kematian anak sendiri. Kepiluan dahsyat begitulah yang dirasai seniwati juga penyanyi legenda, Uji Rashid ketika ini saat harus menerima takdir apabila putera kesayanganya, Cico Harahap telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi meninggalkan dirinya.
Itu luahan pilu bintang veteran, Uji Rashid sambil menangis kepada rakannya, Datin Norizan Yeob, sebaik jenazah Allahyarham Cico Harahap, dibawa ke bilik jenazah di Surau Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini, sekitar pukul 4 petang tadi.
Uji kemudian dilihat dipeluk Norizan, iaitu balu komposer, Allahyarham Datuk S Atan, bagi menenangkannya.
Norizan yang ditemui berkata, Uji tampak tabah di luar, namun, hakikatnya hatinya rapuh dalam menghadapi kehilangan anak lelaki kesayangannya itu.









