Tokyo: Shuri Sakuma mempamerkan kebangkitan luar biasa pada pusingan terakhir untuk muncul juara Japan Classic selepas mencatat keputusan lapan bawah par 64 pukulan, sekali gus meraih gelaran pertama dalam Jelajah LPGA di Kelab Taiheiyo, Minori Course, dekat Tokyo, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun dari Jepun itu menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 20 bawah par, empat pukulan mengatasi pencabar terdekatnya, Aki Iwai, selepas menghasilkan lapan birdie tanpa sebarang bogey pada pusingan terakhir.

Lebih mengagumkan, Sakuma yang memulakan saingan hari terakhir dengan ketinggalan tiga pukulan, berjaya mengubah kedudukan menerusi enam birdie dalam lapan lubang terakhir.

Rentetan lima birdie berturut-turut turut menjadi titik perubahan apabila dia mula menguasai kedudukan pendahulu sebelum mengekalkan momentum sehingga tamat saingan.