Kuala Berang: Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali ketika cuba mengelak sekumpulan monyet yang berada di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah - Tapah, Kampung Kepah di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4.30 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta peronda Honda City, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, patah tangan kiri manakala rakannya, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan pada bahagian rahang.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu itu sedang menjalankan tugas rondaan penguatkuasaan trafik.