​HULU TERENGGANU - Dua anggota polis cedera selepas kenderaan peronda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali akibat mengelak sekumpulan monyet di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah - Tapah, Kampung Kepah di sini pada petang Ahad.​Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu kenderaan, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, mengalami kecederaan patah tangan kiri, manakala penumpang, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan di bahagian rahang.​Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu itu sedang menjalankan tugas rondaan penguatkuasaan trafik.​Menurutnya, kenderaan jenis Honda City itu sedang dalam perjalanan dari arah Simpang Kepah menghala ke Kuala Berang.​"Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sekumpulan monyet telah berada di tengah jalan.​"Pemandu kenderaan berkenaan bertindak mengelak ke arah kanan bagi mengelakkan daripada melanggar haiwan tersebut.​"Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali," katanya.​Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian.​Mengulas lanjut, Sharudin berkata, siasatan awal mendapati keadaan permukaan jalan ketika kejadian adalah basah berikutan cuaca selepas hujan.​"Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.