Papar: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada hutang pembelian barangan runcit berakhir dengan kematian lelaki warga emas yang ditemukan dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, suspek lelaki warga asing berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan warga emas berusia 75 tahun itu ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama, hasil risikan dan tindakan pantas pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.