DOHA: Malaysia berhasrat membawa cadangan supaya pengukuran liputan Internet tidak lagi hanya tertumpu kepada kawasan berpenduduk (COPA), sebaliknya turut mengambil kira kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi ke peringkat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu sedang diteliti susulan aduan orang ramai dan Ahli Parlimen mengenai masalah kesalinghubungan Internet di lokasi yang tidak mempunyai penempatan penduduk tetapi menjadi laluan perhubungan utama atau pusat kegiatan ekonomi.

Beliau berkata, pendekatan sedia ada yang berasaskan liputan kawasan berpenduduk wajar dipertimbangkan semula dengan mengambil kira konsep Coverage of Economic Areas bagi memastikan keperluan kesalinghubungan di kawasan ekonomi turut diberikan perhatian.