Putrajaya: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar dari 6 hingga 11 Nov ini dengan misi mempertahankan kerusi negara sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun turut bertujuan memastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili dalam perbincangan tentang hala tuju pembangunan telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada peringkat global.

Persidangan berkenaan akan menentukan dasar dan pelan strategik ITU bagi tempoh 2027 hingga 2030, selain menyaksikan pemilihan kepimpinan tertinggi badan berkenaan, anggota Lembaga Peraturan Radio (RRB) serta 48 negara yang bakal menganggotai Majlis ITU.