ISTANBUL: Sekurang-kurang 18 penerbangan komersial di seluruh Eropah dilaporkan menerima ancaman bom, semalam, menyebabkan beberapa pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas, mengubah laluan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Insiden berkenaan membabitkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Ryanair, Wizz Air, LOT Polish Airlines, Finnair, Jettime, KLM dan Aer Lingus.

Di Perancis, sebuah pesawat Airbus A320 milik Aer Lingus yang dalam perjalanan dari Dublin ke Rom terpaksa dilencongkan ke pangkalan udara di Evreux, Normandy, susulan ancaman bom.

Pesawat yang membawa 151 penumpang dan enam anak kapal itu mendarat dengan selamat sebelum diperiksa pasukan pemusnah bom tentera Perancis.