SEREMBAN: Kastam Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan yang dijalankan hujung bulan lalu membabitkan nilai rampasan dan duti mencecah RM2.56 juta.

Pengarahnya, Jamal Paiman berkata dalam operasi di dua lokasi berasingan, pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, barangan elektrik serta sebuah mesin pembungkusan dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM359,271.

"Serbuan pertama jam 3 petang 26 Oktober lalu, anggota daripada Cawangan Operasi menahan dan memeriksa sebuah van jenis Daihatsu di lorong belakang bangunan kedai di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 10,000 paket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media hari ini.