MELAKA: Penyertaan ramai wanita sebagai calon mewakili beberapa parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 memperlihatkan keterbukaan parti dalam memberi ruang kepada golongan itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan politik.

Peluang yang diberikan juga membuktikan kepimpinan parti kini tidak lagi melihat keupayaan seseorang calon mereka berdasarkan jantina semata-mata sebaliknya melalui kewibawaan dan kemampuan membawa perubahan kepada masyarakat.

Pada PRN Melaka ke-16 ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan paling ramai calon wanita iaitu enam orang diikuti Barisan Nasional (BN) (empat), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (dua) serta masing-masing seorang BERSATU dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).