Seremban: Jabatan Kastam Diraja menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan yang dijalankan hujung bulan lalu membabitkan nilai rampasan dan duti mencecah RM2.56 juta.

Pengarahnya, Jamal Paiman berkata, dalam operasi di dua lokasi berasingan itu, pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, barangan elektrik serta sebuah mesin pembungkusan dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM359,271.

"Pada serbuan pertama kira-kira jam 3 petang 26 Oktober lalu, anggota daripada Cawangan Operasi menahan dan memeriksa sebuah van di lorong belakang bangunan kedai di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media hari ini.