KUALA LUMPUR: Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister mengakui anak buahnya berdepan tugas getir apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Cabaran DPMM pastinya bukan mudah apabila mereka perlu mengejar defisit dua gol selepas tewas 0-2 kepada JDT dalam aksi pertama di laman sendiri, sekali gus meletakkan tekanan kepada skuad kendalian McAllister untuk bangkit di gelanggang lawan.
McAllister sedar JDT memiliki barisan pemain berkualiti yang mampu menghukum setiap kesilapan, justeru beliau mahu DPMM lebih berdisiplin, agresif dan bijak mengawal permainan bagi memastikan mereka tidak mudah dikuasai lawan.
Beliau berkata, aspek penguasaan bola dan reaksi pemain ketika kehilangan bola perlu diperbaiki jika mahu membuka jalan untuk ke pentas final Piala FA.






