Kuala Lumpur: Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister mengakui anak buahnya berdepan tugas getir apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, esok, namun tetap mahu pasukannya memberikan tentangan terbaik demi memburu tempat ke final.
Cabaran DPMM pastinya bukan mudah apabila mereka perlu mengejar defisit dua gol selepas tewas 0-2 kepada JDT dalam aksi pertama di laman sendiri, sekali gus meletakkan tekanan kepada skuad kendalian McAllister untuk bangkit di gelanggang lawan.
McAllister sedar JDT memiliki barisan pemain berkualiti yang mampu menghukum setiap kesilapan, justeru beliau mahu DPMM lebih berdisiplin, agresif dan bijak mengawal permainan bagi memastikan mereka tidak mudah dikuasai lawan.









