KUALA LUMPUR: Tiada ruang untuk melakukan kesilapan apabila sistem kiraan 15 mata mula diperkenalkan Januari depan, kata pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun.
Kai Wun berkata, perubahan itu menuntut pemain memulakan permainan secara agresif dan perlu cepat menyesuaikan diri kerana permulaan perlahan boleh memberi kelebihan kepada lawan untuk menguasai perlawanan.
"Buat masa ini, kita belum tahu bagaimana peluang kita dengan sistem baharu itu. Kita perlu bermain dahulu untuk melihat kesannya.
"Sistem 15 mata ini terlalu pantas. Mungkin ia sesuai untuk kita, tetapi mungkin juga sebaliknya kerana kita biasanya mengambil masa untuk mendapatkan rentak permainan," katanya yang muncul juara Terbuka Perancis bersama pasangannya, Man Wei Chong, Ahad lalu.










