Kuching: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berpendapat pasukannya layak meraih kemenangan selepas terikat 1-1 dengan Kitchee SC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui The Cats perlu lebih tajam menyudahkan peluang bagi memastikan tekanan terhadap lawan diterjemahkan kepada kemenangan.
"Saya fikir kami layak memenangi perlawanan ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, beliau tidak mahu memperlekeh kemampuan Kitchee, namun menegaskan pasukannya mencipta peluang dan memberikan tekanan untuk memburu jaringan.








