KUALA LUMPUR: Pekerja yang diberhentikan susulan penstrukturan semula syarikat akibat pelaksanaan kadar gaji minimum baharu layak menuntut faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi menampung kelangsungan hidup sehingga enam bulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu mengambil kira keseimbangan antara usaha meningkatkan pendapatan pekerja dengan keupayaan majikan meneruskan operasi, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sudah pasti dari sudut pandang itu, kita mengambil kira beberapa segmen dan bagaimana pelaksanaan itu diimbangi untuk kita terus menyantuni warga kerja kita, dan pada masa sama kelangsungan majikan, terutama dalam kalangan peniaga kecil PMKS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.









