KUALA LUMPUR: Gangguan capaian laman web rasmi dan portal beberapa bank di negara ini sejak malam tadi dipercayai berlaku ketika peningkatan aktiviti serangan siber yang menyasarkan infrastruktur telekomunikasi dan perbankan Malaysia.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pemantauan peta ancaman siber secara masa nyata daripada pelbagai sumber pihak ketiga yang boleh diakses umum menunjukkan petunjuk peningkatan aktiviti serangan siber terhadap Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod serangan siber terhadap sektor perbankan di negara lain, Jepun, Paraguay dan Perancis antara negara yang pernah melaporkan gangguan serius.

Tambahnya, rekod di Jepun menyaksikan serangan serentak terhadap 128 bank sehingga menyebabkan gangguan sistem.