PUTRAJAYA: Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) menikmati manfaat lebih besar daripada pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berbanding golongan berpendapatan tinggi (T20), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan data penggunaan semasa yang menunjukkan corak pembelian petrol bersubsidi mengikut kumpulan pendapatan, sekali gus membolehkan kerajaan menilai agihan manfaat inisiatif berkenaan.

"Sebenarnya, sekarang saya ada data yang sempurna... kerana tiap-tiap orang yang pakai subsidi, dia guna IC (MyKad) di stesen minyak dan kita ada rekod untuk setiap pembelian yang ada dalam negara ini.

"Jadi data semasa kami menunjukkan bahawa pengedaran antara B40, M40, T20, (subsidi minyak) banyak memberi manfaat kepada M40 dengan B40," katanya dalam satu siaran audio siar menerusi akaun TikTok Duit Faiz.