Kuala Lumpur: Dua gol yang meledak ke gawang Gangwon FC bukan alasan untuk Safawi Rasid berpuas hati, sebaliknya pemain sayap Kuching City FC itu mahu menjadikan detik gemilang berkenaan sebagai permulaan kepada prestasi lebih konsisten selepas ini.

Safawi mengakui perkara paling penting ketika ini adalah mengekalkan momentum positif, terutama selepas membantu Kuching City mencatat kemenangan 2-0 ke atas wakil Korea Selatan itu dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Bagi pemain berusia 29 tahun itu, menjaringkan gol bukan sesuatu yang boleh dijanjikan dalam setiap perlawanan kerana prestasi seseorang pemain, khususnya di posisi serangan, sentiasa berubah mengikut situasi dan peluang yang hadir.