PEMAIN beregu lelaki negara, Yap Roy King mengakui masih banyak yang perlu dipelajari bersama pasangan baharunya, Aaron Tai, meskipun gandingan itu dilihat mula mendapat keserasian meyakinkan di pentas antarabangsa.
Roy King berkata, kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Arctic berstatus Super 500 di Finland, bulan lalu bukan bermakna mereka adalah pemain tumpuan, sebaliknya menjadi permulaan kepada proses membentuk kombinasi lebih mantap.
“Saya pun masih belajar bersama dia (Aaron Tai). Sebelum ini bergandingan dengan Kai Wun pun, saya rasa masih banyak yang perlu dipelajari secara berperingkat.
“Bukanlah bermakna saya sudah menjadi pemain yang stabil. Saya rasa semuanya menjadi kerana adanya Aaron Tai,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.









