Numazu, Jepun: Fenomena pelancongan anime di Jepun mencetuskan trend baharu apabila peminat bukan sekadar mengunjungi lokasi yang dipaparkan dalam siri animasi kegemaran, malah sanggup berpindah dan menetap di bandar berkenaan untuk membina kehidupan baharu, lapor Channel NewsAsia (CNA).

Antara lokasi yang mencuri perhatian ialah bandar pesisir pantai Numazu di wilayah Shizuoka yang menjadi tumpuan peminat siri anime popular Love Live! Sunshine!!.

Populariti siri itu bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, malah mendorong sebahagian peminat memilih untuk bekerja dan menetap di bandar berkenaan.

Fenomena itu dapat dilihat menerusi kisah Maki Nishiono, 27, yang pada mulanya mengunjungi Numazu untuk menjejaki lokasi sebenar yang dipaparkan dalam siri animasi berkenaan sebelum mengambil keputusan meninggalkan Osaka untuk bekerja di Hotel Awashima, antara lokasi yang ditampilkan dalam anime itu.