Klang: Panglima Briged Kesebelas Infantri Kem Sungai Buloh Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan@Asri Ismail mendahului 19 penerima Darjah Kebesaran Kelas Kedua dan Kelas Ketiga sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pada istiadat hari ini, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada lapan individu termasuk Safwan.
Turut menerima darjah kebesaran sama adalah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye Ahmad Amiri Abu Bakar; Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional Laksamana Muda Dr Najhan Md Said, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Empat penerima lain adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mareena Mahpuhz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad Mohd Haris Mohd Arshad, Penasihat Undang-Undang Kumpulan YTL Corporation Berhad Datin Seri Kathleen Chew Wai Lin serta Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Limited Anthony Tan Ping Yeow.









