KUALA LUMPUR - Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan-peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Negara.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu dizahirkan susulan titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah.Menurutnya, UMNO menjunjung kasih atas titah berkenaan yang turut tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.Beliau berkata, berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi."Sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong."UMNO berpendirian titah tegas Tuanku ini boleh membawa kepada maksud wujudnya tindakan penderhakaan," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.AGC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.Dalam pada itu Sultan Ibrahim bertitah, perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO menuntut supaya keputusan Lembaga Pengampunan berkenaan dilaksanakan serta-merta.Beliau turut menegaskan pihak yang mengingkari perintah berkenaan perlu dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang-undang.Tambahnya, UMNO bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong."Semoga Allah memelihara kemuliaan Tuanku dan menyelamatkan Malaysia daripada tangan-tangan yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara," katanya.