KUALA LUMPUR – Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan klasifikasi jawatan berdasarkan kelayakan pendidikan pekerja bagi mengelak pembayaran gaji permulaan yang ditetapkan, sekiranya pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pindaan itu akan memasukkan elemen kelayakan tahap pendidikan bagi membolehkan penetapan gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan.

“Apabila elemen ini telah dimasukkan, maka pihak majikan tidak boleh dengan senang atau sewenang-wenangnya menidakkan jawatan berdasarkan kelulusan (kelayakan) pekerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.