Kuala Lumpur: Peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-40 daripada 133 negara dalam Chandler Good Government Index (CGGI) 2026, merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan, integriti dan keberkesanan pentadbiran negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar berkata pencapaian itu bukan alasan untuk kerajaan berpuas hati, sebaliknya masih terdapat ruang yang perlu diberi perhatian.
"Pencapaian ini bukan alasan untuk kita berpuas hati. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian, khususnya dalam memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan setiap dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.









