PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) terus memperkukuh komitmen terhadap perlindungan data pelanggan, privasi dan akauntabiliti dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi penerapan amalan perniagaan bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram berkata, penggunaan teknologi baharu perlu disertai tanggungjawab untuk memastikan data pelanggan dilindungi dan organisasi bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

“Orang ramai perlu yakin bahawa data mereka dilindungi, organisasi bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, dan perniagaan mengambil kira kesan pertumbuhan digital terhadap masyarakat secara menyeluruh.

“Skala operasi syarikat memerlukan standard perniagaan ditingkatkan secara berterusan selain kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani cabaran berkaitan penggunaan teknologi,” katanya di Majlis Pelancaran Hari Perniagaan Bertanggungjawab 2026, di Menara CelcomDigi di sini hari ini.