Johor Bahru: Kemunculan cahaya berapi yang kelihatan melintasi langit di beberapa negeri termasuk Pahang, Sabah dan Johor dikaitkan dengan dua fenomena angkasa iaitu kemasukan semula teleskop angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke atmosfera bumi serta hujan meteor yang sedang berlaku.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah, berkata kedua-dua fenomena itu berlaku dalam tempoh hampir sama susulan beberapa rakaman video dan perkongsian berkenaan cahaya luar biasa yang tular di media sosial.

"Beberapa kejadian berkaitan angkasa lepas berlaku baru-baru ini," katanya kepada New Straits Times ketika diminta mengesahkan laporan yang tersebar di media sosial.