PETALING JAYA: Perancangan dan pembangunan bandar tidak seharusnya meminggirkan nilai kemanusiaan serta kebajikan rakyat selaras dengan gagasan Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecekapan dan prestasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) wajar dijadikan contoh bagi menambah baik perancangan perbandaran agar tidak hanya tertumpu kepada kemegahan struktur fizikal semata-mata.
“Bila kita bicara soal perancangan fizikal dan bandar, ini soal kehidupan, soal manusiawi, soal terkait dengan keyakinan kita dalam agama, dalam nilai, dalam akhlak.
“Kadang-kadang kita datang kerja, pulang, kita lupa bahawa sebenarnya pembangunan kota itu pembangunan insan, pembangunan manusia, pembangunan yang membantu menegakkan iman dan akhlak kita jadi prinsip kemanusiaan terus ada,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di sini hari ini.









