KUALA LUMPUR: Pelaburan tambahan Google sebanyak AS$15 bilion (RM61 bilion) di Malaysia bukan sahaja pencapaian bersejarah bahkan mengesahkan hasrat negara untuk menjadi sebuah pusat data perdana di Asia Tenggara.
Pelaburan itu turut membabitkan pembangunan kampus pusat data cekap tenaga di zon perindustrian, kerjasama meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, selain menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu membuktikan keyakinan syarikat teknologi global terhadap kestabilan, keupayaan tenaga kerja serta cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai hab digital utama di Asia Tenggara.










