KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa melangkah ke pusingan kedua Terbuka Korea selepas menewaskan wakil Thailand, Tonrug Saeheng 21-17, 21-18 di Stadium Jinnam, hari ini.
Pemain ranking ke-28 dunia itu mengambil masa 47 minit untuk mengesahkan kemenangan, sekali gus mengelak tersingkir pada pusingan awal buat kali ketiga berturut-turut selepas gagal melepasi halangan pertama di Terbuka Denmark dan Perancis bulan lalu.
Bagaimanapun, ujian lebih getir menanti Letshanaa apabila dijadual berdepan pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se Young bagi merebut tiket ke suku akhir, esok.
Nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara, Wong Ling Ching yang terkandas selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada Thalita Ramadhani Wiryawan dari Indonesia 17-21, 23-21, 20-22.









