SHAH ALAM – Tiada apa yang mampu diluahkan penduduk di Kampung Melayu Subang selain reda dengan kejadian banjir yang kerap kali berlaku di kawasan mereka sejak 20 tahun lalu.
Malah, penduduk asal di kampung berkenaan turut mendakwa sudah menghadapi lebih 30 bencana banjir besar, sekali gus menyebabkan ada antara mereka yang mengaku ‘penat’ dengan situasi tersebut.
Seorang penduduk, Wahidah Mohd., 63, berkata, dia sudah menetap di kampung itu sejak 45 tahun lalu selepas berpindah dari Melaka sejurus berkahwin dengan suaminya, Mohd. Nazir Mohd. Kassim, 72.
“Tahun ini sahaja, saya sudah hadap lebih tiga kali banjir. Tahun lepas kalau tidak silap, dua kali juga banjir berlaku.








