SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan menerima tujuh aduan berhubung isu halal dengan satu kes membabitkan penjualan makanan ringan di sebuah pasar raya tahun ini.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima maklumat mengenai kegiatan penyembelihan ayam seperti yang tular berlaku di sekitar negeri ini.

“Buat tahun ini, kita sudah pun menerima sebanyak tujuh aduan berhubung isu halal dengan satu kes direkodkan membabitkan penjualan makanan ringan di sebuah pasar raya yang disiasat mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Pasar Raya TF Value-Mart, Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.