NEW DELHI – Kualiti udara di ibu negara India berada pada tahap berbahaya semalam apabila paras pencemaran toksik melonjak lebih 30 kali ganda daripada had harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut agensi pemantau udara, kemerosotan mendadak itu berlaku hanya tiga hari selepas pihak berkuasa mengetatkan pelbagai sekatan kecemasan, termasuk mengehadkan aliran trafik dan menghentikan kerja-kerja pembinaan, bagi mengekang masalah pencemaran udara yang menyelubungi metropolis berpenduduk lebih 30 juta orang tersebut.
Keadaan udara di bandar raya itu dikhuatiri bertambah buruk menjelang sambutan perayaan Deepavali hujung minggu ini, ekoran aktiviti membakar mercun dan bunga api yang lazimnya memburukkan lagi kualiti udara.








