KUALA LUMPUR: Perancangan harta pusaka sering dianggap perkara yang boleh ditangguhkan, sedangkan persediaan awal penting bagi memastikan urusan keluarga lebih teratur apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Hakikatnya, tidak semua ahli keluarga mengetahui maklumat terperinci mengenai simpanan, lokasi dokumen penting atau senarai aset milik ibu bapa mahupun pasangan termasuk akaun bank, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

Kekurangan maklumat itu boleh menyukarkan proses pengurusan harta pusaka, malah berpotensi menyebabkan salah faham serta pertikaian dalam kalangan waris sekiranya pembahagian harta tidak difahami dengan jelas.

Menyedari kekangan berkenaan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Waris Safe Technology, Ahmad Zahari, mengambil inisiatif membangunkan WarisSafe, sebuah platform digital pengurusan harta pusaka Islam yang membantu keluarga Muslim di Malaysia menyusun maklumat harta dan waris secara sistematik.