SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempertingkat pemantauan terhadap penggunaan logo halal di pasaran, termasuk pembekal bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan perakuan berkenaan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN Aris Mamat berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga atau syarikat yang didapati menggunakan logo halal palsu, tidak sah atau yang telah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, aspek pengesahan status halal sesuatu barangan makanan termasuk ayam serta kaedah penyembelihannya, berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Daripada segi KPDN, peranan kami adalah menentusahkan penggunaan logo halal yang diguna pakai oleh premis atau pembekal. Sekiranya didapati menggunakan logo halal palsu, tamat tempoh dan tidak diperbaharui, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.